Novel KEKASIHKU GADIS SARAWAK kini berada di pasaran!!!

Monday 14 April 2014

Novel Rinduku Di Kampus Pra-U Bahagian 3

Bahagian 3
 
Usai majlis penutupan minggu orientasi pelajar tingkatan 6 bawah, dada Dira terasa sangat lapang. Minggu yang memenatkan dan mungkin sedikit memalukannya sudah berakhir.

Dia sudah bebas. Tidak ada lagi tanda nama besar, tidak ada lagi jerit pekik abang-abang dan kakak-kakak senior. Dan tidak ada lagi mandi atau makan terburu-buru kerana mengejar masa. Tidak juga akan ada denda-denda yang membuatkan jantngnya sentiasa berdebar.

Dia masih ingat, pengalaman disuruh menyanyi oleh dua orang pelajar senior. Pengalaman yang begitu memalukan. Dia memang tidak pandai menyanyi, suara pula memang bukan kategori merdu. Lantas, dia memang sanggup didenda dengan hukuman lain asalkan bukan menyanyi.

Wajah dua orang pelajar lelaki yang mendendanya tempoh hari melekat di memorinya. Mana mungkin dia melupakan wajah yang membuatkan dia pertama kalinya menangis di sekolah barunya itu.

Huh! Dira mendengus geram. Sakit sungguh hatinya mengingatkan sikap berlagak dua orang mamat tersebut. Mentang-mentanglah mereka lebih senior di sekolah ini, sedap-sedap mereka mengenakan pelajar baru.

Ada ubi ada batas, bisik Dira dalam hatinya.

Mengingatkan peristiwa hitam itu, Dira memang sakit hati. Dalam sejarah hidupnya, itulah kali pertama dia menyanyi solo di depan orang lain. Selalunya, bilik mandi di rumah keluarganya yang menjadi studio untuk Dira menunjukkan bakat vokalnya.

Malunya! Dira menekup mukanya. Tidak sanggup rasanya mengingatkan enam pasang mata sedang memandangnya yang sedang menyanyi dengan linangan air matanya.

“Penghayatan yang begitu mendalam.”  Kata-kata salah seorang pelajar senior tersebut masih terngiang-ngiang di telinganya. Panas wajahnya ketika mendengar kata-kata sinis pelajar lelaki terbabit.

Dira merenung sekeliling. Memerhatikan bilik yang baru seminggu menjadi tempat mereka berteduh. Tiga buah katil kosong tidak berpenghuni. Entah ke mana perginya Tida, Rabeca dan Mona, Dira kurang pasti.

 Di sudut sana, Tina, Mirza dan Mimie sedang berborak. Kelihatan rancak sekali boraknya sambil sesekali diselangi bunyi ketawa. Mungkin teringat saat lucu sepanjang minggu orientasi lepas.

Siti, Dora dan Ema pula terlungkup di atas katil masing-masng. Mungkin terlampau penat kerana kurang rehat sepanjang minggu lepas. Dia sendiri penat tidak terkata. Cuma semangat untuk menulis sesuatu di diari kesayangannya membuatkan dia menahan ngantuknya untuk seketika.

Memang hobinya menulis diari. Tetapi hanya baru hari ini dia dapat meneruskan hobinya. Sepanjang minggu lepas, dia langsung tidak berkesempatan kerana sibuk dengan minggu orientasi yang memenatkan.

Dia meniarap di atas katil sambil mengetuk-ngetuk dagunya dengan pen. Lagaknya seperti seorang yang cuba mengingatkan sesuatu. Kemudian terangguk-angguk sebelum mencatat sesuatu.

20 Mei 2013

*Sudah seminggu aku tidak berpeluang mencurah rasa dan minda di dalam diari kesayanganku ini.

*Bermakna sudah seminggu aku menjadi penghuni di gedung ilmu ini. Walaupun situasinya hampir sama dengan sekolah lama tetapi segalanya serba baru bagiku; sekolah baru, guru baru, asrama baru, kelas baru dan ada kawan-kawan baru.

*Kena cepat-cepat menyesuaikan diri.

*Minggu orientasi, pelbagai suka duka, pengalaman pahit dan manis, lucu dan sebagainya.

*Kena paksa menyanyi, sesuatu yang memalukan. Tetapi, bila dingat kembali, rasa lucu pula.

*Cuba lebih fokus pada pelajaran, yakin boleh!

Jam 4.30 petang.

Bersambung

No comments:

Post a Comment